
KUALA LUMPUR, 21 Oktober -Kepakaran tenaga kerja tempatan menjadi antara faktor penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor global.
- 22,849 bakat dilatih setakat suku ketiga 2026 menerusi pelbagai program pembangunan tenaga mahir.
- Pembangunan bakat dilaksanakan melalui kerjasama kementerian, institusi pengajian tinggi dan pihak industri.
- Pendekatan bersepadu melibatkan peningkatan kemahiran tenaga sedia ada, pengukuhan latihan teknikal vokasional dan pemerkasaan kerjasama industri akademik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, seramai 22,849 bakat telah dilatih setakat suku ketiga 2026 menerusi pelbagai program pembangunan tenaga mahir.
Katanya, pembangunan bakat dilaksanakan melalui kerjasama beberapa kementerian, institusi pendidikan tinggi dan pihak industri bagi memenuhi keperluan sektor semikonduktor yang semakin kompleks.
“Penyampaian ini menunjukkan kemajuan ke arah sasaran 60,000 tersebut, walau bagaimanapun, usaha berterusan masih diperlukan untuk memastikan bekalan bakat bukan sahaja mencukupi dari segi bilangan, tetapi turut memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran industri semikonduktor yang semakin kompleks.
“Bagi mencapai sasaran tersebut, kerajaan melaksanakan pembangunan bakat melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan peningkatan kemahirantenaga kerja sedia ada, pengukuhan latihan teknikal, dan vokasional, serta pemerkasaan kerjasama industri akademik,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin di Dewan Rakyat.
Menurut Datuk Seri Johari, keperluan itu semakin penting ketika Malaysia berusaha memperluas penglibatan dalam aktiviti semikonduktor bernilai tambah tinggi, termasuk reka bentuk cip serta penyelidikan dan pembangunan.
Tambah beliau, penyelarasan antara latihan, kurikulum pendidikan dan keperluan sebenar industri menjadi antara aspek penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi.