
KUALA LUMPUR, 18 November – Sebanyak 117 projek pusat data direkodkan di Malaysia bagi tempoh separuh pertama tahun 2026.
- Nilai pelaburan diluluskan bagi segmen pusat data dan pengkomputeran awan berjumlah RM95.8 bilion.
- DCTF meluluskan 27 projek dengan anggaran pelaburan RM225.97 bilion hingga Oktober.
- Projek DCTF dijangka menjana 4,053 peluang pekerjaan termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi.
- Pembangunan pusat data menyumbang hasil kerajaan melalui cukai, fi pihak berkuasa tempatan dan penggunaan utiliti serta peluang pekerjaan tidak langsung.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata nilai pelaburan yang diluluskan bagi segmen pusat data dan pengkomputeran awan berjumlah RM95.8 bilion.
Beliau memaklumkan menerusi Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) sebanyak 27 projek diluluskan dengan anggaran nilai pelaburan RM225.97 bilion hingga Oktober tahun ini.
“Dari segi pewujudan peluang pekerjaan hingga suku kedua tahun 2026, projek di bawah DCTF dijangka menjana sebanyak 4,053 peluang pekerjaan, termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian dan keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.
“Selain peluang pekerjaan secara langsung, pembangunan pusat data turut mewujudkan peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) meminta kementerian menyatakan berapakah nilai ekonomi sebenar yang telah dijana daripada pertumbuhan pusat data kepada Malaysia dari segi pekerjaan, gaji berkemahiran tinggi, cukai dan penggunaan vendor tempatan, berbanding nilai pelaburan yang diumumkan.
Datuk Wilson menambah meskipun jumlah pekerja langsung dalam industri pusat data secara relatifnya lebih rendah berbanding sektor pembuatan, industri berkenaan berupaya menawarkan pekerjaan yang lebih khusus, berkemahiran tinggi dan mempunyai nilai tambah.
Mengulas mengenai sumbangan hasil kepada kerajaan, Datuk Wilson berkata kutipan cukai pendapatan korporat dijangka meningkat secara berperingkat selepas tamat tempoh insentif pelaburan yang dinikmati sebahagian projek.
“Selain itu, aktiviti pembangunan dan pengoperasian pusat data juga menyumbang kepada hasil kerajaan menerusi cukai jualan dan perkhidmatan, fi pihak berkuasa tempatan serta hasil berkaitan penggunaan dan pembekalan utiliti,” ujarnya.