
KUALA LUMPUR, 21 Oktober –Seramai 30 individu, termasuk 29 warga asing dan seorang warga tempatan, ditahan dalam operasi membanteras sindiket persundalan rentas sempadan Malaysia-Singapura menerusi Op Noda Rentas Sempadan, semalam.
- Operasi serentak JSJ Bukit Aman bersama Singapore Police Force di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Johor.
- Siasatan awal mendapati sindiket aktif sejak 2024 menjadikan Malaysia pangkalan untuk laman promosi perkhidmatan pelacuran ke Singapura.
- Polis merampas peranti elektronik, menahan suspek untuk reman dan tindakan undang-undang boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Singapore Police Force (SPF) itu dilaksanakan secara serentak di beberapa premis kediaman di sekitar Kuala Lumpur dan Johor.
Pengarah JSJ Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata, sembilan individu, termasuk seorang warga tempatan dan lapan warga asing berusia 29 hingga 56 tahun, ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket persundalan yang dikehendaki pihak berkuasa Singapura.
“Lapan warga asing yang ditahan terdiri daripada tujuh warga China dan seorang warga Singapura.
“Semakan awal mendapati seorang warga Singapura dan empat warga China yang ditahan turut tinggal lebih masa di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, dalam operasi sama, polis menahan 21 lagi warga asing, terdiri daripada 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos, berusia 19 hingga 41 tahun.
Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti mempromosi dan menguruskan perkhidmatan persundalan secara dalam talian.
Polis turut merampas pelbagai peranti elektronik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Kesemua 21 individu itu kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun, sebatan dan denda.
“Siasatan awal mendapati sindiket yang dipercayai aktif sejak 2024 itu menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang yang mempromosikan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan di Singapura.
“Langkah itu dipercayai bertujuan mengelakkan tindakan pihak berkuasa Singapura terhadap kegiatan sindiket berkenaan, ” katanya lagi.
Kesemua sembilan individu yang dikehendaki SPF pula akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura melalui Bahagian D12 (NCB/INTERPOL), JSJ Bukit Aman, selepas proses pengesahan identiti dan prosedur undang-undang berkaitan selesai.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPF melalui perkongsian maklumat risikan bagi membanteras jenayah rentas sempadan.
PDRM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan persundalan, termasuk melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.