
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Sebanyak 1.27 juta pembiayaan mikro bernilai RM14.56 bilion disalurkan kepada usahawan mikro bagi tempoh 2023 hingga September lalu menerusi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
- Pembiayaan baharu 212,910 kes bernilai RM2.19 bilion disalurkan melalui AIM dan TEKUN bagi modal dan pengembangan perniagaan.
- Pembiayaan berulang 1.05 juta kes bernilai RM12.13 bilion direkod, bantu usahawan tingkatkan kapasiti operasi.
- Seramai 8,008 usahawan mikro berjaya naik taraf kepada PKS, menunjukkan impak pembiayaan terhadap perkembangan perniagaan.
- KUSKOP memantau NPL; kadar TEKUN dan Bank Rakyat menurun, AIM catat kadar NPL sangat rendah hingga sifar.
Pembiayaan itu disalurkan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Bank Rakyat bagi membantu usahawan mendapatkan modal perniagaan, menjana pendapatan serta mengembangkan perniagaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 212,910 pembiayaan baharu bernilai RM2.19 bilion disalurkan menerusi AIM dan TEKUN Nasional, manakala 1.05 juta pembiayaan berulang bernilai RM12.13 bilion turut direkodkan.
“Pembiayaan berulang penting bagi membolehkan usahawan mikro memperoleh modal tambahan untuk meningkatkan kapasiti operasi, menambah modal pusingan dan mengembangkan perniagaan.
“Selain itu, seramai 8,008 usahawan mikro berjaya meningkatkan skala perniagaan kepada kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus membuktikan bahawa pembiayaan mikro bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan, malah menyokong perkembangan perniagaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada persidangan Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, KUSKOP turut memantau prestasi pembayaran balik pembiayaan menerusi kadar pembiayaan tidak berbayar (NPL).
Kadar NPL TEKUN Nasional menurun daripada 12.66 peratus pada 2023 kepada 8.60 peratus sehingga September lalu, manakala Bank Rakyat mencatatkan penurunan daripada 15 peratus kepada 11 peratus dalam tempoh sama.
AIM pula merekodkan kadar NPL rendah, iaitu 0.09 peratus pada 2023, 0.02 peratus pada 2024 dan sifar peratus pada 2025.