Pelan tindakan SCALE diperkenal pada 2027, pacu pertumbuhan PKS

Menteri KUSKOP, Steven Sim / Foto RTM

PETALING JAYA, 21 Oktober – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkenalkan pelan tindakan SCALE bermula 2027 bagi menyokong dan memacu pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke tahap yang lebih mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • SCALE menumpukan lima fokus strategik: penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, pemerkasaan AI, keperluan kandungan tempatan, dan akses pembiayaan.
  • Perlindungan aliran tunai diutamakan untuk mengatasi kelewatan pembayaran yang mengancam kestabilan kewangan PKS.
  • Galakan pendigitalan melalui AI bagi meningkatkan produktiviti, nilai operasi dan menyokong peralihan kepada pertumbuhan berasaskan nilai.

Menterinya, Steven Sim berkata, pelan tindakan tersebut bertindak sebagai pelengkap kepada Strategi ABCD yang menumpukan kepada anjakan produktiviti, mempermudah birokrasi, serta meluaskan capaian modal dan akses pasaran.

Menurutnya, SCALE merangkumi lima fokus strategik iaitu penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, pemerkasaan kecerdasan buatan (AI), penetapan keperluan kandungan tempatan dan pemudah cara akses pembiayaan.

“Penakrifan semula PKS wajar dilaksanakan memandangkan definisi semasa yang diguna pakai sejak 2013 perlu diselaraskan mengikut perubahan landskap perniagaan hari ini, khususnya dalam era ledakan teknologi digital dan AI.

“Kerangka strategik pada tahun 2026 adalah ABCD, kerana ia merupakan penyelesaian segera kepada titik kesukaran utama yang dihadapi iaitu isu produktiviti, akses modal, masalah pasaran, serta karenah birokrasi. Itulah strategi ABCD bagi menangani kesukaran mendesak tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program SME CEO Forum 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa aspek perlindungan aliran tunai amat kritikal bagi menangani isu kelewatan pembayaran yang berisiko menjejaskan kestabilan kewangan PKS.

Menyentuh mengenai aspek pendigitalan, beliau menggesa warga PKS untuk mengoptimumkan penggunaan AI dalam meningkatkan produktiviti operasi tanpa perlu bergantung semata-mata kepada pertambahan waktu bekerja.

Teknologi tersebut disifatkan mampu melonjakkan kapasiti operasi dan menghasilkan nilai yang lebih tinggi, sekali gus menyokong peralihan struktur ekonomi negara daripada model berteraskan kos kepada pertumbuhan dipacu nilai.

Dalam pada itu, KUSKOP turut komited memperkukuh keperluan kandungan tempatan bagi memastikan usahawan domestik mendapat manfaat secara langsung daripada pelaburan berskala besar dalam negara, termasuk melalui penggubalan garis panduan atau perundangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.