Malaysia, Thailand perkasa penyelarasan kerjasama agensi di sempadan

Foto Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 7 September – Malaysia dan Thailand bersetuju memperkasa penyelarasan kerjasama dua hala antara pelbagai agensi kedua-dua negara, khususnya berkaitan keselamatan dan pembangunan di kawasan sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan membendung penyeludupan bagi melindungi kepentingan ekonomi Malaysia dan Thailand.
  • Kerjasama pemasangan pagar sempadan, masing-masing memagar kawasan belum berpagar untuk pengurusan keselamatan.
  • Setuju kerja pendalaman Sungai Golok hingga ke muara dan pembinaan benteng bagi mengurangkan risiko banjir.
  • Malaysia terus berperanan sebagai fasilitator rundingan damai demi keselamatan dan pembangunan Selatan Thailand.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow hari ini.

Beliau berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan usaha keselamatan sempadan kedua-dua negara dilaksanakan secara lebih tersusun, sekali gus membendung kegiatan penyeludupan.

“Kita nak selaraskan supaya dapat pastikan terutamanya dari segi keselamatan sempadan tidak ada lagi isu-isu penyeludupan yang merugikan kedua-dua pihak.

“Malaysia rugi, Thailand rugi kerana ada jenis barangan yang diseludup ke Thailand, ada juga jenis barangan daripada Thailand diseludup ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi hos Majlis Makan Tengah Hari bersempena lawatan kerja dua hari Sihasak ke Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua pihak turut membincangkan pemasangan pagar di sempadan kedua-dua negara sebagai langkah memperkukuh keselamatan dan pengurusan sempadan.

“Di kawasan mana yang kita telah pagar, dia (Thailand) tidak akan memagar dan mereka akan memagar di kawasan yang belum ada pagar.

“Jadi, ini kerjasama dari segi keselamatan dan juga pengurusan sempadan itu dapat dibuat dengan terbaik yang mungkin,” katanya.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan usaha menangani masalah banjir di kawasan Sungai Golok, termasuk kerja-kerja mendalamkan sungai dan pembinaan benteng penghadang banjir.

Jelas Datuk Seri Mohamad, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mendapatkan persetujuan pihak Thailand bagi menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Golok sehingga ke muara, bertujuan memastikan aliran air tidak terganggu serta mengurangkan risiko banjir ketika hujan lebat.

Mengenai situasi di Selatan Thailand, beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai berkaitan isu keselamatan.

Tambah beliau, Malaysia sedang berusaha membantu kedua-dua pihak supaya rundingan berkenaan dapat memasuki fasa yang lebih baik, selain menyumbang kepada usaha mewujudkan keamanan dan pembangunan di kawasan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.