
WASHINGTON, 29 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan pernah menawarkan penjualan senjata buatan negaranya kepada Presiden China, Xi Jinping.
- David Perdue mendakwa Trump menawarkan penjualan senjata kepada Xi semasa lawatan terakhir.
- Washington kekal tidak berubah mengenai penjualan senjata kepada Taiwan, masih membekalkan untuk pertahanan mengikut undang-undang domestik.
- Pegawai AS dan Jabatan Negara menegaskan tiada tawaran atau rancangan menjual senjata kepada China.
- Xi menggesa AS berhati-hati mengenai Taiwan; kedua pemimpin dijangka bertemu lagi di APEC dan G20.
Penafian itu bercanggah dengan kenyataan Duta AS ke China, David Perdue yang sebelum ini mendakwa Trump membuat tawaran berkenaan ketika lawatan Xi ke White House minggu lalu.
“Saya tidak pernah dengar mengenai perkara itu, saya perlu bertanya kepadanya.
“Mereka mungkin mahu membelinya kerana kami menghasilkan peralatan yang lebih baik daripada mereka, jadi mungkin itu idea yang baik. Tetapi kami tidak membincangkannya,” kata Trump kepada pemberita di Oval Office.
Perdue sebelum ini memberitahu Fox News bahawa Trump membuat tawaran itu ketika membincangkan isu penjualan senjata AS kepada Taiwan bersama Xi.
Menurut Perdue, pendirian Washington mengenai penjualan senjata kepada Taiwan kekal tidak berubah.
Seorang pegawai AS pula sebelum ini menegaskan kerajaan negara itu tidak mempunyai rancangan menjual senjata kepada China.
Jabatan Negara AS turut memaklumkan undang-undang negara itu melarang penjualan senjata kepada China dan tiada tawaran atau rancangan untuk berbuat demikian.
Isu Taiwan kekal antara perkara sensitif dalam hubungan Washington-Beijing, dengan China membantah penjualan senjata AS kepada pulau itu.
AS pula terus membekalkan senjata kepada Taiwan bagi tujuan pertahanan mengikut undang-undang domestiknya.
Trump masih mengekalkan pendirian yang tidak jelas sama ada Washington akan campur tangan secara langsung sekiranya China menyerang Taiwan, walaupun pentadbirannya terus meluluskan penjualan senjata kepada pulau berkenaan.
Xi dalam lawatan terbaharunya ke Washington sekali lagi menggesa AS supaya berhati-hati dalam isu Taiwan dan menolak sebarang sokongan terhadap kemerdekaan Taiwan.
Kedua-dua pemimpin dijangka bertemu lagi pada sidang kemuncak APEC di Shenzhen pada November, sebelum forum G20 di Miami, bulan berikutnya. – AFP