Tiga pasangan kembar seiras antara 2,546 pelajar baharu UMT sesi 2026/2027

FOTO UMT

KUALA NERUS, 29 September -Sesi pendaftaran pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi Sesi Akademik 2026/2027 mencuri perhatian apabila kehadiran pasangan kembar tiga seiras antara 2,546 mahasiswa yang mendaftar di universiti berkenaan Sabtu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa pasangan kembar dan tiga beradik mendaftar serentak di UMT, ramai memilih program pengajian yang sama atau seiras.
  • Kemasukan di universiti yang sama memudahkan urusan keluarga, logistik dan menjimatkan kos.
  • UMT menyambut pelajar baharu tempatan dan antarabangsa, menyediakan peluang akademik, kemahiran, jaringan serta tumpuan pada sains marin dan teknologi.

Kembar tiga seiras dari Selangor iaitu Nur Fatihah Nazaruddin, Nur Insyirah Nazaruddin dan Nur Aqilah Nazaruddin, 23, ditawarkan program pengajian yang sama iaitu Sarjana Muda Sains (Matematik Gunaan) dengan Kepujian.

Sesi pendaftaran di kampus itu turut diserikan dengan kemasukan pasangan kembar seiras dari Pahang, Wan Nur Qistina Adiyana Wan Ahmad Shafie dan Wan Nur Qistina Adiyani Wan Ahmad Shafie, 19, yang kedua-duanya memilih program Sarjana Muda Matematik Kewangan.

Selain itu, kemasukan sesi berkenaan turut menyaksikan tiga beradik dari Alor Setar, Kedah iaitu Muhammad Alif Fahmi Arshad, 21, Muhammad Amin Taqiuddin Arshad, 20, dan Muhammad Iqbal Izzuddin Arsyad, 19 mendaftar serentak bagi memulakan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

Salah seorang daripada kembar itu, Muhammad Amin Taqiuddin berkata, peluang melanjutkan pengajian di universiti yang sama memudahkan pelbagai urusan keluarga terutamanya aspek logistik dan perbelanjaan.

“Kami sangat gembira dapat belajar di universiti yang sama kerana banyak urusan menjadi lebih mudah.

“Apabila melibatkan pendaftaran atau penghantaran, semuanya di tempat yang sama dan pada masa yang sama ia dapat menjimatkan kos keluarga,” katanya.

Sementara itu, Profesor yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT Prof Dr Suriyani Muhamad berkata pihak universiti sentiasa berusaha memastikan proses pendaftaran berjalan dengan lancar dan memberikan pengalaman awal yang positif kepada mahasiswa.

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu ke UMT. Setiap seorang hadir dengan latar belakang, pengalaman dan impian yang berbeza, namun mereka kini berkongsi satu perjalanan sebagai warga Universiti Malaysia Terengganu.

“Manfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia di UMT, bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga membina kemahiran, persahabatan, jaringan dan pengalaman yang akan menjadi bekalan selepas tamat pengajian,” katanya.

Pendaftaran Sesi Akademik 2026/2027 kali ini merangkumi kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa dari pelbagai negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Republik Czech, Turkiye dan Sweden.

Antara bidang pengajian utama yang menjadi tumpuan di peringkat sarjana muda termasuk sains marin, teknologi maritim, kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.