
PUTRAJAYA, 29 September – Kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam WorldSkills Competition sejak 1995 selepas meraih satu pingat gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan pada edisi 2026 di Shanghai.
- Sia Xin Wan memenangi pingat gangsa dalam kategori Pengujian Perisian dan menerima anugerah Best of Nation.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan tahniah kepada 22 belia atas kecemerlangan TVET negara.
- WorldSkills Shanghai menghimpunkan 1,400 peserta dari 65 negara dalam 64 bidang; edisi ke-49 dijadual di Aichi, Jepun 2028.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu membabitkan 22 anak muda negara yang mempamerkan kehebatan dan kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, pingat gangsa disumbangkan Sia Xin Wan menerusi kategori Pengujian Perisian, selain turut menerima anugerah Best of Nation.
“Tahniah kepada 22 anak muda yang telah menampilkan kehebatan dan kemahiran dalam bidang TVET, sekali gus mengharumkan nama negara.
“Teruskan mengasah kemahiran dan mengejar kecemerlangan. Kalian kebanggaan negara!” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Kejohanan yang berlangsung dari 22 hingga 27 September itu menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran dari 65 negara dan wilayah yang bertanding dalam 64 bidang kemahiran.
WorldSkills Shanghai 2026 merupakan edisi ke-48 pertandingan berkenaan, dengan pingat emas, perak dan gangsa serta Pingat Kecemerlangan disampaikan kepada peserta terbaik mengikut bidang masing-masing.
Anugerah Best of Nation pula diberikan kepada seorang peserta cemerlang dari setiap negara dan wilayah yang mengambil bahagian.
Edisi ke-49 WorldSkills Competition dijadual berlangsung di Aichi, Jepun pada 2028.