Jenazah Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumi di Pusara Negara

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 September – Suasana hening menyelubungi Pusara Negara di Presint 20 di sini, ketika jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selamat dikebumikan pukul 6.20 petang dengan dihadiri suami, Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta anggota keluarga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memberi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan terakhir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Jenazah diusung lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia dipimpin Kapten Ahmad Saufi Md Isa.
  • Istiadat termasuk penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan dan bacaan talkin oleh Imam Besar.
  • Allahyarham dihargai atas sumbangan besar dalam kesihatan, pendidikan dan kebajikan serta disemadikan bersebelahan pusara Tun Endon.

Istiadat Pengebumian Pembesar Negara itu diadakan sebagai penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri itu yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diusung oleh lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), diketuai oleh Kapten Ahmad Saufi Md Isa daripada Markas Tentera Darat.

Usai pengebumian, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan Datuk Abd Shukor Mahmood.

Bacaan talkin kemudiannya disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Istiadat itu turut menjadi tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

Jenazah Allahyarham turut disemadikan bersebelahan dengan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ditemani anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta beberapa Jemaah Menteri, wakil kedutaan asing, pemimpin masyarakat serta orang ramai.

Terdahulu, jenazah Tun Dr Siti Hasmah dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan memandikan dan solat jenazah sebelum dibawa ke Pusara Negara Presint 20 untuk disemadikan.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Tun Dr Siti Hasmah merupakan anak keenam daripada 10 beradik kepada pasangan Mohd Ali Taib dan Siti Khadijah Ahmad.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Baru, Methodist Girls School, St Mary’s School dan kemudiannya Pudu English Girls School.

Allahyarham meninggalkan suami, Tun Dr Mahathir dan tujuh anak.

Tun Dr Siti Hasmah bukan sahaja dikenali sebagai isteri kepada negarawan yang menerajui negara selama lebih dua dekad, malah sebagai doktor perubatan dan tokoh wanita yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.

Sepanjang mendampingi, Tun Dr Mahathir, Allahyarham menyaksikan pelbagai detik penting dalam sejarah dan pembangunan negara, selain memainkan peranan dalam memperjuangkan isu kesihatan, kebajikan dan pembangunan wanita.

Pemergian Allahyarham menutup satu lembaran kehidupan seorang tokoh wanita yang selama puluhan tahun berdiri di sisi Tun Dr Mahathir dalam mengharungi pelbagai fasa penting perjalanan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham bagi mengenang susuk keibuan serta menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang hayatnya. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.