
KOTA KINABALU, 28 September – Lebih ramai anak Sabah disaran menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi merebut peluang kerjaya dalam industri bernilai tinggi, termasuk sektor minyak dan gas.
- Industri bernilai tinggi menawarkan pelbagai peluang kerjaya berpotensi pulangan baik kepada tenaga kerja berkemahiran.
- Kerajaan akan terus menyokong pengukuhan pendidikan STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
- Memperluas program latihan untuk membuka laluan kepada bakat tempatan menceburi industri bernilai tinggi.
- Penyerahan modul pembelajaran STEM kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk diagihkan ke sekolah seluruh negeri.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sektor berkenaan menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang berpotensi memberikan pulangan baik kepada tenaga kerja berkemahiran.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus menyokong usaha memperkukuh pendidikan STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping memperluas program latihan yang dapat membuka laluan kepada lebih ramai bakat tempatan untuk menceburi industri berkenaan.
Usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program STEM Forward 2026, di sini.
Dalam majlis sama, turut berlangsung penyerahan modul pembelajaran STEM kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah di seluruh negeri.