
SEREMBAN, 26 Oktober – Suami kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di sebuah kuarters kerajaan di Nilai pada 15 Oktober lalu, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh isterinya.
- Mohd Khairudin Safi’ai, 39, tidak mengaku; kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada di bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
- Didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kelompok 6 Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA sekitar pukul 7 malam.
- Jika sabit, hukuman maut atau penjara 30 hingga 40 tahun; jika tidak maut, boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Mohd Khairudin Safi’ai, 39, bagaimanapun tidak membuat pengakuan kerana kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, Mohd Khairudin didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kelompok 6, Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira pukul 7.00 malam pada 15 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, dia juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sarip.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat.
Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Norhazwani ditemukan maut di unit kuarters berkenaan sebelum suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, bagi membantu siasatan.