Pindaan undang-undang syariah perkukuh tindakan terhadap pihak ingkar bayar nafkah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang menyediakan cadangan pindaan undang-undang tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi memperkukuh tindakan terhadap pihak yang gagal membayar nafkah.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKSM meneliti pelaksanaan bantuan pendahuluan nafkah berbentuk bantuan kewangan tidak perlu dibayar semula oleh penerima yang layak.
  • Bantuan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab pihak yang diwajibkan membayar nafkah.
  • Penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah termasuk penyitaan harta, prosiding hiwalah dan potongan gaji, pemenjaraan tertakluk kepada proses kehakiman.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, JKSM turut meneliti pelaksanaan bantuan pendahuluan nafkah dalam bentuk bantuan kewangan yang tidak perlu dibayar semula oleh penerima yang layak.

“Walau bagaimanapun, bantuan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab pihak yang berwajib ataupun pihak yang diwajibkan membayar nafkah.

“JKSM juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah bagi memastikan hak dan kebajikan penerima nafkah sentiasa dipelihara,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail mengenai pindaan undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang sengaja melengahkan prosiding atau gagal mematuhi perintah pembayaran nafkah yang ditetapkan Mahkamah Syariah.

Jelas Marhamah, mahkamah juga mempunyai mekanisme penguatkuasaan termasuk penyitaan harta, prosiding hiwalah serta perintah tahanan pendapatan melalui potongan gaji bagi menguatkuasakan pembayaran nafkah.

Bagaimanapun, tindakan pemenjaraan tertakluk kepada proses kehakiman dan perintah mahkamah, manakala bantuan kewangan yang diberikan kepada penerima layak tidak melepaskan pihak yang bertanggungjawab daripada kewajipan membayar nafkah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.