
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) akan diperluas daripada 14 kepada 16 bidang perkhidmatan pada 2027, susulan peningkatan peruntukan sebanyak RM56 juta tahun depan.
- HSOP perkenal dua bidang baharu: ujian kultur Mycobacterium tuberculosis dan ujian genetik pranatal.
- Program HSOP berjaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit, mengurangkan kesesakan dan mempercepat rawatan kritikal.
- Bilangan pesakit menerima manfaat meningkat 22.2% kepada 51,159 melalui 14 bidang perkhidmatan.
- Konsep hospital cottage diperkenalkan untuk naik taraf klinik pedalaman, menyediakan wad pemerhatian dan akses rawatan lebih dekat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua bidang perkhidmatan baharu yang akan diperkenalkan ialah ujian kultur Mycobacterium tuberculosis bagi mengesan bakteria penyebab tuberkulosis (tibi) serta ujian genetik pranatal.
Menurut beliau, program yang memanfaatkan kapasiti sektor swasta itu berjaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit antara dua hingga 10 minggu secara purata, selain membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
“Sebagai contoh, tempoh menunggu bagi pembedahan pintasan jantung (CABG) berjaya dikurangkan sebanyak 18 minggu, daripada 50 kepada 32 minggu.
“Bagi rawatan radioterapi kanser prostat, tempoh menunggu dikurangkan sebanyak 13 minggu, daripada 21 kepada lapan minggu manakala bagi pemeriksaan tomografi berkomputer (CT) jantung berjaya dikurangkan sebanyak 11 minggu,” katanya.
Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Ujarnya, jumlah pesakit yang menerima manfaat daripada HSOP meningkat 22.2 peratus kepada 51,159 orang menerusi 14 bidang perkhidmatan berbanding 41,858 pesakit melalui 10 bidang perkhidmatan sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM merancang memperkenalkan konsep hospital cottage melalui penaiktarafan klinik kesihatan terpilih di kawasan pedalaman bagi memperluas akses kepada perkhidmatan rawatan, khususnya bagi penduduk yang tinggal jauh dari hospital.
“Inisiatif itu merangkumi penyediaan kemudahan tertentu, termasuk wad pemerhatian di klinik kesihatan yang terletak di kawasan dengan akses terhad kepada hospital.
“Antara fasiliti yang dikenal pasti ialah Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman, Pahang; Klinik Kesihatan Telupid dan Klinik Kesihatan Nabawan di Sabah; serta Klinik Kesihatan Sungai Asap di Sarawak,” katanya.
Pelaksanaan konsep berkenaan bertujuan menyediakan akses kepada rawatan pesakit dalam, mengurangkan keperluan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan serta memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati secara lebih saksama tanpa mengira lokasi geografi.