580,000 halaman manuskrip Melayu telah didigitalkan setakat September

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Lebih 580,000 halaman daripada 4,840 judul manuskrip Melayu telah didigitalkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) setakat September tahun ini, sebagai usaha memelihara khazanah persuratan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PNM memiliki 5,405 naskhah manuskrip Melayu dan melaksanakan inisiatif pemeliharaan melalui pendigitalan, pendokumentasian serta penerbitan bahan sejarah.
  • Khazanah dipertontonkan melalui pameran transliterasi Jawi lama ke Rumi dan penceritaan digital bagi meningkatkan akses masyarakat.
  • Kementerian menyokong cadangan kerjasama strategik PNM dengan DBP untuk membangunkan kandungan pembelajaran Jawi secara imersif.
  • Program Pembudayaan Tulisan Jawi sejak 2022 merekod 565,000 penyertaan setakat Sept 2026 dan diiktiraf Malaysia Book of Records.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, PNM kini memiliki koleksi 5,405 naskhah manuskrip Melayu, selain melaksanakan pelbagai inisiatif pemeliharaan warisan bertulis melalui pendigitalan bahan arkib, pendokumentasian dan penerbitan bahan sejarah.

Beliau berkata, khazanah berkenaan turut diketengahkan menerusi pameran transliterasi tulisan Jawi lama kepada Rumi serta penceritaan digital bagi meningkatkan akses masyarakat terhadap warisan persuratan Melayu.

“Seiring dengan perkembangan teknologi, kementerian menyambut baik cadangan untuk meneroka kerjasama strategik antara PNM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membangunkan kandungan pembelajaran Jawi secara imersif berasaskan pedoman ejaan Jawi,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, program Pembudayaan Tulisan Jawi yang dilaksanakan kementerian menerusi PNM sejak 2022 merekodkan 565,000 penyertaan setakat September 2026.

Program berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi Festival Seni Kaligrafi dan Seni Motif Perpaduan, berdasarkan jumlah penyertaan yang direkodkan.

Program itu, yang bermula di Sabah pada 2025, mengangkat seni kaligrafi sebagai medium interaksi dan perpaduan antara kaum.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mencadangkan supaya buku mengenai kehidupan dan sumbangan tokoh negarawan, khususnya Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, diterbitkan dan diedarkan ke sekolah.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi mendidik generasi muda mengenai kepentingan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menjawab cadangan itu, Aaron berkata kementerian telah menerbitkan pelbagai risalah dan buku, manakala penerbitan yang memberikan tumpuan khusus kepada tokoh negarawan akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.