
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Seramai 600 keluarga komuniti India di kawasan Parlimen Lembah Pantai menerima sumbangan baucar bernilai RM150 bagi membantu meringankan perbelanjaan keperluan harian menjelang sambutan Deepavali.
- Program inisiatif membantu komuniti India menjelang Deepavali, kata Datuk Seri Fahmi Fadzil.
- Baucar boleh digunakan di Checkers, TMC Bangsar, Mydin dan Econsave Jalan Klang Lama.
- Baucar boleh ditebus hingga 18 November dengan kad pengenalan sebagai bukti pengundi Parlimen Lembah Pantai.
- Usaha memastikan dua SJKT terus beroperasi dan menaik taraf SJKT Bangsar termasuk pembelian komputer riba serta penambahbaikan prasarana.
Baucar itu disampaikan dalam Majlis Sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai yang berlangsung di IWK Eco Park Lembah Pantai, hari ini.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif membantu komuniti India di kawasan berkenaan menjelang perayaan Deepavali.
“Pada malam ini, kita mengadakan program penyerahan baucar kepada 600 keluarga daripada keseluruhan 1,600 keluarga yang kita santuni,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathan dan Pengurus Minnal FM, Kumaran Subramaniam.
Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya terpilih, iaitu Checkers, TMC Bangsar, Mydin dan Econsave Jalan Klang Lama.
Ia boleh ditebus hingga 18 November depan, dengan penerima perlu mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti kelayakan sebagai pengundi di Parlimen Lembah Pantai.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fahmi mahu memastikan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Lembah Pantai, iaitu SJKT Saraswathy dan SJKT Bangsar terus beroperasi serta menjadi pilihan ibu bapa.
Sehubungan itu, usaha menambah baik kemudahan pembelajaran di SJKT Bangsar akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah.
“Kita akan bekerjasama dengan guru besar SJKT Bangsar untuk menaik taraf kemudahan sedia ada, termasuk pembelian komputer riba baharu untuk kegunaan makmal komputer serta menambah baik beberapa prasarana sekolah,” katanya.