AGC pimpin jawatankuasa khas siasatan jenayah kewangan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Jabatan Peguam Negara (AGC) mempengerusikan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan yang turut melibatkan kerjasama enam agensi berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti, dilaksanakan secara telus dan komprehensif tanpa terhad kepada individu atau syarikat.
  • Kerjasama enam agensi termasuk SPRM, PDRM, LHDN, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
  • Laporan hasil siasatan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan dan seterusnya dimaklumkan kepada orang awam.

AGC menerusi kenyataan memaklumkan, jawatankuasa itu akan menyiasat susur galur jenayah kewangan secara menyeluruh dari peringkat awal hingga kini berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh.

“Siasatan akan dilaksanakan secara telus dan komprehensif tanpa terbatas kepada mana-mana individu atau syarikat tertentu, bagi memastikan semua aspek yang berkaitan diteliti secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Tan Sri Peguam Negara pada Rabu bagi menetapkan keanggotaan serta skop dan parameter siasatan.

Enam agensi terlibat dalam pelaksanaan siasatan itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Turut menyertai jawatankuasa itu ialah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

AGC berkata, kerjasama itu bagi memastikan tindakan berkaitan siasatan dapat dilaksanakan secara teratur dan bersepadu.

“Laporan hasil siasatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri (Kabinet) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya sebelum dimaklumkan kepada orang awam.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen untuk memastikan proses siasatan dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan bertanggungjawab demi kepentingan awam,” menurut kenyataan itu lagi.

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan pengumuman Perdana Menteri di Parlimen pada 20 Oktober lalu, dengan AGC diberikan mandat mempengerusikannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.