
ALOR SETAR, 1 November – Usaha meningkatkan pengeluaran padi negara turut memberi tumpuan kepada kesuburan tanah sawah bagi memastikan penggunaan input pertanian lebih berkesan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah serta menjamin bekalan makanan negara.
- Peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2026 untuk pembekalan baja foliar dan bahan kesuburan tanah.
- Pelaksanaan melibatkan MADA, KADA dan IADA Kerian bagi memastikan pengagihan bantuan kepada kawasan sawah terlibat.
- Kajian Profil Tanah MADA (2019-2022) mendapati tanah kurang subur dan 60,650 hektar berasid (pH bawah 5.0), menjejaskan pengambilan nutrien.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM20 juta bagi pembekalan baja foliar dan bahan kesuburan tanah.
“Usaha tersebut melibatkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian (IADA Kerian).
“Setiap peruntukan kerajaan bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan strategik yang mesti diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pengukuhan pendapatan pesawah dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada berucap pada majlis penyampaian Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan baja foliar kepada pesawah bawah MADA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Langkah itu penting berikutan Kajian Profil Tanah MADA bagi tempoh 2019 hingga 2022 mendapati sebanyak 22 peratus atau 21,917 hektar tanah
sawah dikenal pasti kurang subur.
Selain itu, sebanyak 60,650 hektar tanah sawah didapati berasid dengan nilai pH di bawah 5.0 yang menjejaskan keupayaan tanaman mengambil nutrien.