
KUALA LUMPUR, 1 November – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan salah laku pegawai melalui saluran rasmi kepada JIM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
- Setiap maklumat akan diteliti dan disalurkan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan berkuat kuasa.
- Pendedahan maklumat secara terbuka boleh membolehkan pihak terlibat mengubah modus operandi atau memusnahkan bukti, menyukarkan siasatan.
- JIM tidak akan berkompromi terhadap salah laku; memperkukuh integriti, pematuhan prosedur dan kawalan dalaman serta mengenakan tindakan tatatertib.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, setiap maklumat yang diterima akan diteliti dan disalurkan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Pendedahan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang secara terbuka sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa dikhuatiri boleh menyebabkan pihak yang terlibat menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti, sekali gus menyukarkan proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas yang didakwa melibatkan beberapa pegawai Imigresen di Kuala Lumpur, seperti dilaporkan media dan dibangkitkan menerusi pelbagai platform media sosial.
Jelas beliau, JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran integriti oleh mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
“Sebagai bukti komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti dan akauntabiliti, seramai 849 pegawai Imigresen dikenakan tindakan tatatertib secara kumulatif bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, termasuk 73 pegawai yang dikenakan hukuman buang kerja,” katanya lagi.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, seramai 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 18 pegawai yang dibuang kerja.
“JIM akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang,” jelasnya.