Wellness Hub beri manfaat hampir dua juta rakyat

Foto BERNAMA

AYER KEROH, 1 November – Hampir dua juta rakyat mendapat manfaat daripada 38 fasiliti Wellness Hub yang beroperasi di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM memperkukuh penjagaan kesihatan preventif dan membudayakan gaya hidup sihat melalui inisiatif Wellness Hub.
  • Pendekatan mengubah sistem kesihatan dari rawatan kepada pencegahan, fokus pengurusan penyakit kronik, pengesanan awal dan promosi kesihatan.
  • Beban NCD dianggarkan RM64.2 bilion setahun mendorong pengukuhan Agenda Nasional Malaysia Sihat serta pendekatan dorongan tingkah laku.

Ia dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh penjagaan kesihatan preventif dan membudayakan gaya hidup sihat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua fasiliti Wellness Hub turut beroperasi di Melaka, masing-masing di Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Katanya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha KKM mengubah sistem kesihatan negara daripada hanya menumpukan rawatan pesakit kepada penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan, khususnya dalam menangani peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

“Sebagai penegasan terhadap perkara yang telah saya sampaikan dalam ucapan sebentar tadi, kita perlu memberikan perhatian serius terhadap cabaran NCD, khususnya daripada aspek pengurusan penyakit kronik.

“Saya ingin menegaskan bahawa kekuatan sesebuah sistem kesihatan bukan sekadar terletak pada keupayaannya merawat penyakit atau pesakit yang dimasukkan ke hospital, tetapi lebih penting dalam memastikan rakyat kekal sihat dan tidak perlu mendapatkan rawatan di hospital.

“Matlamat ini dapat dicapai melalui pengukuhan usaha pencegahan, promosi kesihatan serta pendekatan ramalan dan pengesanan awal bagi mengurangkan risiko penyakit dalam kalangan masyarakat,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2026 di Ayer Keroh, hari ini.

Usaha memperkukuh penjagaan kesihatan preventif semakin penting susulan NCD yang dianggarkan membebankan ekonomi negara sebanyak RM64.2 bilion setahun.

Daripada jumlah itu, RM51.8 bilion merupakan kerugian akibat kehilangan produktiviti, manakala RM12.4 bilion melibatkan kos rawatan.

Sehubungan itu, KKM akan terus memperkukuh Agenda Nasional Malaysia Sihat menerusi pendekatan dorongan tingkah laku bagi menggalakkan masyarakat membuat pilihan lebih sihat dalam kehidupan seharian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.