Peguam Negara kembalikan pertuduhan bunuh dalam kes Zaharif

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar/Foto RTM

KOTA BHARU, 1 November – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan ke atas Pegawai Kanan Polis, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Nazri Abdul Razak berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata akan meneliti keseluruhan aspek kes, termasuk memulihkan pertuduhan asal atau tindakan lain.
  • Pertuduhan dipinda daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
  • Pengakuan bersalah dibuat di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada akhir kes pendakwaan.
  • Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian mangsa di persimpangan Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, pada 15 Disember 2023.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan minggu lalu.

“Kita akan meneliti keseluruhan aspek kes ini, termasuk sama ada perlu mengemukakan hujah untuk mengembalikan pertuduhan asal, iaitu membunuh, atau mengambil tindakan lain yang bersesuaian berdasarkan fakta dan keadaan kes. Perkara itu akan dihujahkan kemudian,”katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini hari ini.

Pada 28 Oktober lalu, Mohd Nazri, 47, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.

Pertuduhan terhadapnya sebelum itu dipinda daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(b) kanun sama.

Pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada akhir kes pendakwaan.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian mangsa di persimpangan Jalan Taman Jati 1, Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, pada 15 Disember 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.