DS Najib belum jelas denda RM50 juta – Peguam Negara

Foto RTM

KOTA BHARU, 1 November – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masih belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam Negara: tiada tempoh khusus ditetapkan untuk pembayaran denda.
  • Datuk Seri Najib akan terus menjalani hukuman penjara selagi syarat pembayaran denda tidak dipenuhi.
  • Media melaporkan beliau dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat.
  • Ketetapan dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, setakat ini pihaknya belum menerima makluman bahawa bayaran denda berkenaan telah dibuat.

“Setakat maklumat yang kami terima, Datuk Seri Najib masih belum menjelaskan bayaran denda berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada tempoh khusus ditetapkan untuk pembayaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini hari ini.

Menurut beliau, Datuk Seri Najib akan terus menjalani hukuman di penjara selagi syarat pembayaran denda itu belum dipenuhi.

Sebelum ini, media melaporkan Datuk Seri Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara bagi sabitan kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Ketetapan itu dibuat susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Pengampunan bersyarat berkenaan membolehkan Perdana Menteri keenam itu menjalani baki tempoh hukumannya di rumah sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Perkara itu terkandung dalam kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.