Industri hiliran sawit diperkukuh, sasar tingkat nilai eksport

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kementerian Perladangan dan Komoditi komited memperkukuh industri hiliran sawit negara bagi meningkatkan nilai eksport serta mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak sawit mentah.

RINGKASAN BERITA AI
  • DAKN 2021–2030 menekankan penghasilan produk sawit bernilai tambah tinggi untuk sektor hiliran.
  • Perkukuhan sektor oleokimia bagi menghasilkan produk premium untuk industri domestik, penjagaan diri dan kegunaan industri lain, disokong MPOB.
  • Pembangunan nutraseutikal dan farmaseutikal memanfaatkan tokotrienol dan vitamin E untuk produk kesihatan pasaran global.
  • Pengembangan hiliran dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport, meningkatkan daya saing dan memperluas peluang pendapatan kepada pekebun kecil menjelang 2030.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030), yang memberi penekanan kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi.

“Antara strategi yang dilaksanakan termasuk memperkukuh sektor oleokimia khusus bagi menghasilkan produk premium untuk pasaran industri domestik, penjagaan diri dan kegunaan industri lain. Usaha itu turut disokong penyelidikan serta perkhidmatan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Selain itu, kementerian turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor nutraseutikal dan farmaseutikal dengan memanfaatkan kandungan bernilai tinggi dalam sawit, termasuk tokotrienol dan vitamin E, bagi menghasilkan produk kesihatan untuk pasaran global,” katanya.

Datuk Seri Huang menjawab soalan wakil Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang meminta kementerian menjelaskan strategi memperkukuh industri hiliran komoditi bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah serta memperluas peluang industri dan pendapatan kepada pekebun kecil.

Menurutnya, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara telah melepasi RM100 bilion, manakala usaha meningkatkan sumbangan produk hiliran bernilai tambah tinggi akan terus dipergiat menjelang 2030.

Beliau berkata, pengembangan industri hiliran berpotensi menjadi antara pemacu utama pertumbuhan eksport negara, selain meningkatkan daya saing produk sawit Malaysia di pasaran antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.