
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Program Renjer Komuniti terus diperkukuh bagi membantu melindungi biodiversiti negara, khususnya menerusi rondaan di kawasan yang berdepan ancaman pemburuan haram.
- Program Renjer Komuniti berkembang dari 227 pada 2019 kepada 2,500 renjer pada 2026.
- Kerajaan memperuntuk RM65 juta kepada NRES dalam Belanjawan 2027 untuk meneruskan program perlindungan biodiversiti.
- Renjer komuniti dibayar gaji bulanan, menerima KWSP, PERKESO dan insurans; membantu rondaan tetapi tanpa kuasa penguatkuasaan penuh.
Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Ts. Dr. Khairul Naim Adham berkata, renjer komuniti membantu operasi rondaan di kawasan tumpuan termasuk taman negara, rizab hidupan liar dan hutan simpanan kekal.
“Mereka ini sebenarnya membantu operasi rondaan khususnya di lokasi tumpuan yang mempunyai ancaman pemburuan haram,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut beliau, program Renjer Komuniti yang diperkenalkan pada 2019 bermula dengan penyertaan 227 orang sebelum meningkat kepada 2,500 orang pada 2026.
Bagi meneruskan usaha perlindungan biodiversiti menerusi program berkenaan, kerajaan memperuntukkan RM65 juta kepada NRES dalam Belanjawan 2027.
Dari segi kebajikan renjer komuniti, Ts. Dr. Khairul Naim berkata, mereka turut menerima gaji bulanan serta menikmati kemudahan lain seperti perlindungan insurans berkelompok.
“Mereka ini diberi gaji sebanyak RM2,950…..RM2,900 untuk veteran angkatan tentera dan juga pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM). Untuk komuniti-komuniti orang asal RM1,950, komuniti setempat RM1,900 bagi mereka yang mempunyai kelayakan SPM.
“Mereka ini juga telah pun diberi potongan KWSP, PERKESO dan juga insurans berkelompok. Jadi daripada segi kebajikan mereka memang dijaga,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa renjer komuniti berperanan membantu operasi penguatkuasaan, namun tidak mempunyai kuasa penuh seperti pegawai penguat kuasa yang diberi kuasa.
Program itu merupakan sebahagian daripada Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti yang turut merangkumi Operasi Bersepadu Khazanah yang turut merangkumi Operasi Bersepadu Khazanah, dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).