
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kajian penyepaduan tiga hab industri getah di Malaysia, Indonesia dan Thailand dijangka siap pada suku kedua 2027 bagi memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan daya saing industri getah serantau di pasaran global.
- Surat pelantikan perunding (LOA) telah ditandatangani; kajian dijadualkan mengambil masa enam bulan.
- Kajian meneliti turun naik harga getah global, jurang teknologi dan perbezaan standard kualiti antara ketiga-tiga negara.
- Matlamat mengangkat KRC sebagai hab getah bertaraf dunia dan destinasi pilihan pelabur.
- Dapatan kajian akan membantu kenal pasti peluang integrasi produk hiliran bernilai tinggi dan perluasan pasaran serantau.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kajian di bawah kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) itu melibatkan Kedah Rubber City (KRC), Sei-Mangkei Rubber City di Indonesia dan Songkhla Rubber City di Thailand.
Menurutnya, surat pelantikan (LOA) kepada perunding yang dilantik telah ditandatangani, manakala kajian itu dijadualkan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
“Kajian ini dijangka siap pada awal suku kedua 2027 dan kita yakin dapatan kajian ini kelak akan memperkukuh sinergi antara KRC dengan hab industri getah di kedua-dua negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid, mengenai langkah kementerian serta hasil Mesyuarat IMT-GT ke-32 untuk mengangkat KRC sebagai hab industri getah bertaraf dunia dan destinasi pilihan pelabur di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Mohd Shahar memaklumkan, kajian itu turut meneliti turun naik harga getah global, jurang teknologi serta perbezaan standard kualiti antara ketiga-tiga negara.
Dapatan kajian berkenaan akan membantu mengenal pasti peluang memperkukuh integrasi produk hiliran bernilai tinggi dan memperluas pasaran industri getah serantau.