Tiga kategori ASA 2026 iktiraf kualiti penerbitan RTM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraih pengiktirafan dalam tiga kategori pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, sekali gus mencerminkan kekuatan penerbitan kandungan berita, liputan khas dan drama televisyen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan penyampai berita disandarkan pada kerjasama pasukan editorial, editor dan kru belakang tabir.
  • Liputan SUKMA Sarawak menonjolkan gabungan unsur kebudayaan, pemetaan unjuran dan persembahan dron.
  • Drama Selampai Labung mengangkat warisan Iban, khususnya seni tenunan pua kumbu, melalui penceritaan fiksyen.

Pengiktirafan itu melibatkan kategori Penyampai Berita TV Terbaik, Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik dan Drama TV Terbaik.

Pemenang kategori Penyampai Berita TV Terbaik, Otto Othman berkata, kejayaan itu bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya didorong kerjasama erat antara penyampai berita, editor, pasukan editorial dan kru di belakang tabir.

“Kekuatan yang saya anggap penting sekali ialah kekuatan berpasukan. Saya tidak akan dapat membaca sebaik-baiknya tanpa editor, pasukan editorial dan kru di belakang tabir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Sementara itu, penerbit liputan SUKMA Sarawak, Nur Ashidah Abdul Hamid berkata, gabungan persembahan kebudayaan, teknologi pemetaan unjuran (projection mapping) dan persembahan dron menjadi antara keistimewaan yang menyumbang kepada kemenangan dalam kategori Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik.

Beliau berkata, kepelbagaian elemen persembahan dalam majlis pembukaan SUKMA Sarawak memberikan kelainan kepada liputan berkenaan, selain kerjasama erat seluruh pasukan produksi.

Bagi pemenang kategori Drama TV Terbaik pula, Danny Alamsyah Adriansyah berkata, drama Selampai Labung mengetengahkan warisan masyarakat Iban di Sarawak, khususnya kisah di sebalik seni tenunan pua kumbu yang kaya dengan nilai budaya dan tradisi.

Beliau berkata, kisah berkenaan diolah menerusi pendekatan fiksyen sebelum diterjemahkan menjadi sebuah naskhah drama yang dapat dinikmati oleh khalayak umum.

Kejayaan itu memperlihatkan peranan RTM dalam menghasilkan kandungan penyiaran yang bukan sahaja berkualiti, malah mengangkat kreativiti produksi serta warisan budaya tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.