
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) melaksanakan percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kategori Penyertaan Terbesar dalam Program Rujukan Kamus.
- Program menghimpunkan kira-kira 2,345 peserta dengan 239 Munsyi Muda Bahasa sebagai fasilitator, menyokong penggunaan bahasa Melayu tepat dalam penjawat awam.
- Program memupuk budaya ilmu dan galakkan rujuk sumber bahasa sahih; kemas kini kamus selepas ini dilaksanakan secara digital melalui portal DBP.
- Pembudayaan penggunaan kamus membantu semak ketepatan hasil AI dan cegah pencampuran bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia; INTAN teruskan program.
Program itu menghimpunkan kira-kira 2,345 peserta dengan penglibatan 239 Munsyi Muda Bahasa sebagai fasilitator, sekali gus menyokong usaha membudayakan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dalam kalangan penjawat awam.
Timbalan Ketua Pusat, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa INTAN, Halida Burkhan berkata, program itu bertujuan memupuk budaya ilmu serta memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan melalui amalan merujuk sumber bahasa yang sahih.
“Program seperti ini dapat meluaskan pengetahuan tentang penggunaan bahasa Melayu dan pemilihan perkataan yang tepat. Ada kalanya, kita menganggap sesuatu perkataan itu betul, tetapi selepas dirujuk, didapati perkataan tersebut sebenarnya tidak wujud.
“Justeru, program ini memberi pendedahan mengenai laman web rasmi yang boleh dijadikan rujukan bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat, khususnya dalam kalangan penjawat awam yang bertanggungjawab menyediakan pekeliling dan siaran rasmi,” katanya ketika ditemui selepas program percubaan itu.
Menurut Halida, program berkenaan turut menggalakkan penggunaan kamus dalam bentuk fizikal dan digital bagi meluaskan akses kepada rujukan bahasa yang sahih.
Beliau berkata, kamus yang digunakan merupakan edisi terakhir yang diterbitkan secara fizikal, manakala kemas kini entri selepas ini akan dilaksanakan secara digital menerusi portal DBP.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Munsyi Muda Bahasa Sektor Awam Kebangsaan (SEMUA), Mohamad Ikhwan Al Syahid Abdullah Tahir berkata, pembudayaan penggunaan kamus semakin penting bagi membantu masyarakat menyemak ketepatan bahasa, khususnya ketika menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Antara isu penggunaan AI ketika ini ialah kecenderungan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia.
“Sehubungan itu, dengan membudayakan penggunaan kamus dalam kalangan masyarakat, mereka dapat menyemak kesahihan hasil kandungan yang dijana AI melalui sumber rujukan yang sahih, iaitu portal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.
Dalam pada itu, INTAN akan meneruskan usaha membudayakan penggunaan bahasa Melayu menerusi program Munsyi Muda Bahasa.
Setakat ini, program berkenaan telah melahirkan 970 Munsyi Muda Bahasa.
Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi percubaan tersebut dijadual disampaikan pada Rabu, 28 Oktober.