Dua beradik maut kemalangan selamat dikebumikan di Kuala Krai

Foto RTM

KUALA KRAI, 26 Oktober – Jenazah dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Bukit Bauk, Dungun, Terengganu, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Era, di sini, pada 12.30 tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Mohamad Zulkefli dan Muhammad Alif Syukri tiba di rumah keluarga dan disolatkan di Masjid Mukim Kampung Pasir Era.
  • Lebih 200 ahli keluarga dan penduduk kampung hadir mengiringi perjalanan terakhir kedua-dua arwah.
  • Mohamad Zulkefli dan Muhammad Alif Syukri meninggal dunia akibat kemalangan; Muhammad Alif meninggal di hospital, Norshila turut disahkan maut.

Jenazah Mohamad Zulkefli Ishak, 32, dan adik bongsunya, Muhammad Alif Syukri, 18, tiba di rumah keluarga mereka di Kampung Pasir Era pada 9.00 pagi sebelum dibawa ke Masjid Mukim Kampung Pasir Era untuk disolatkan.

Lebih 200 ahli keluarga dan penduduk kampung hadir mengiringi perjalanan terakhir kedua-dua Allahyarham ke tanah perkuburan.

Ibu mangsa, Seedah Arwea, 51, berkata dia reda dengan pemergian anak sulung dan anak bongsunya itu, meskipun masih terkejut dengan kejadian berkenaan.

Seedah turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan perjalanan pulang jenazah kedua-dua anaknya sehingga selesai dikebumikan.

Seedah berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa kedua-dua anaknya serta menantunya, Norshila Zali, 36, sekitar 7.00 malam semalam.

Sementara itu, adik keempat mangsa, Ruqaiyah Ishak, 28, berkata Allahyarham abangnya bersama isteri bertolak dari rumah pada 3.00 petang, Sabtu lalu, untuk menjemput Muhammad Alif Syukri yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.

Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira 5.04 petang semalam ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Kelantan.

Ruqaiyah berkata, keluarga mereka mengetahui kejadian itu menerusi rakan abangnya sekitar 7.00 malam sebelum abang ketiga mereka yang menetap di Selangor bergegas ke Hospital Dungun, manakala ahli keluarga lain menunggu di rumah.

Kali terakhir dia berhubung dengan abangnya adalah pada 3.38 petang semalam menerusi aplikasi WhatsApp untuk bertanyakan lokasi mereka.

Allahyarham Mohamad Zulkefli bekerja sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menetap bersama isterinya di Sungai Durian, Kuala Krai.

Pasangan itu turut tinggal bersama dua anak tiri berusia 13 dan 14 tahun serta seorang anak saudara sebelah isterinya yang berusia 12 tahun.

Jenazah Norshila pula dikebumikan di kampung halamannya di Ketereh, Kota Bharu.

Dalam kejadian itu, Mohamad Zulkefli dan Norshila disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala Muhammad Alif Syukri meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.