
KUALA LUMPUR, 28 September – Syarikat telekomunikasi termasuk BeONE Mobile disaran menerapkan elemen literasi digital, khususnya kesedaran mengenai penipuan dalam talian, dalam usaha mendekati komuniti menerusi rangkaian ejennya.
- Kerajaan mahu literasi digital ditingkatkan supaya pengguna tahu melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
- Menteri meminta syarikat telco terapkan elemen kesedaran 'scam' agar pelanggan membuat keputusan tepat dan tidak mudah diperdaya.
- BeONE diminta manfaatkan jaringan Maxis dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk program literasi digital komuniti.
- BeONE sebagai syarikat telekomunikasi baru sokong pendekatan komuniti, ejen tempatan, kemahiran digital praktikal dan sokongan langsung.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu penting bagi memastikan pengguna bukan sahaja mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi, malah mempunyai pengetahuan untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah penipuan.
“Saya juga meminta supaya diterapkan elemen kesedaran literasi digital, khususnya dalam usaha membanteras ‘scam’ (penipuan), kerana kita mendapati jenayah ‘scam’ masih berlaku.
“Walaupun pihak telco atau MCMC melaksanakan kawal selia serta pelbagai langkah untuk mengekang penyalahgunaan rangkaian, para pelanggan dan pengguna juga perlu mendapatkan maklumat yang tepat serta membuat keputusan yang betul bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ‘scam’.
“Jadi, inilah yang saya harap dapat kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan dalam majlis pelancaran BeONE Mobile di ibu negara.
Beliau turut meminta BeONE Mobile memanfaatkan jaringan Maxis, termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diuruskan syarikat berkenaan, bagi melaksanakan program literasi digital kepada komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha BeONE Mobile membangunkan kumpulan usahawan sebagai ejen, sekali gus membuka peluang kepada komuniti meningkatkan pendapatan.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile, Ameen Amaendran.
BeONE Mobile merupakan syarikat telekomunkasi baru yang disokong oleh Maxis, yang menyediakan perkhidmatan mudah alih prabayar yang tersendiri dengan mengetengahkan pendekatan berasaskan komuniti dengan sokongan ejen tempatan, kemahiran digital praktikal dan khidmat sokongan secara langsung.