MCMC diminta perjelas maklum balas Meta isu godam WhatsApp

Gambar hiasan / RTM

PUTRAJAYA, 30 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta mengeluarkan kenyataan bagi memperjelas maklum balas Meta berhubung isu penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fahmi belum menerima perkembangan terkini hasil perbincangan antara MCMC dan Meta.
  • Meta diberi masa sehingga 3.00 petang Isnin lalu untuk menghantar maklum balas berhubung isu yang dibangkitkan MCMC.
  • MCMC meneliti aduan awam dan memajukan kes kepada Meta untuk penjelasan serta tindakan lanjut.
  • MCMC menjelaskan akaun digodam berisiko disalahgunakan untuk penipuan, spam atau melanggar terma lalu boleh menyebabkan penyekatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau belum menerima perkembangan terkini hasil perbincangan antara MCMC dan Meta berhubung perkara berkenaan.

“Saya belum sempat mendapatkan maklumat terkini hasil daripada perbincangan. Pihak Meta telah meminta sehingga 3.00 petang pada Isnin lalu untuk menghantar maklum balas mengenai isu-isu dibangkitkan pihak MCMC mengenai penggodaman dan juga penyahaktifan akaun WhatsApp.

“Saya akan minta supaya pihak MCMC mengeluarkan kenyataan hasil daripada maklum balas daripada pihak Meta itu,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan MCMC mengambil maklum kebimbangan awam berhubung isu akaun WhatsApp digodam, disekat atau tidak boleh dicapai.

MCMC memaklumkan pihaknya meneliti aduan diterima dan sudah memajukan kes berkaitan kepada platform Meta untuk penjelasan serta tindakan selanjutnya.

Suruhanjaya itu turut menjelaskan isu pengambilalihan akaun atau digodam dan penyekatan akaun ialah dua perkara berbeza.

Menurut MCMC, akaun yang digodam pihak tidak bertanggungjawab berisiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, spam, atau pelanggaran terma perkhidmatan WhatsApp, dan akhirnya menyebabkan akaun berkenaan disekat pihak platform.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menghubungi alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi berbincang dalam meningkatkan penglibatan NGO tersebut dalam perbincangan kerajaan.

Jelasnya , perkara itu susulan pertemuan Datuk Seri Anwar bersama alumni UiTM baru-baru ini yang menghimpunkan ramai individu berpengalaman termasuk dalam sektor korporat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.