
PUTRAJAYA, 30 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pelaksanaan gaji minimum diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan atau pengumuman dibuat berhubung perkara itu.
- Penelitian meliputi tempoh pelaksanaan, kumpulan pekerja dan sektor yang akan terlibat.
- Jemaah Menteri mengambil kira dan mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia.
- Tiada keputusan muktamad; pengumuman mungkin dibuat semasa Pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penelitian itu meliputi beberapa aspek termasuk tempoh pelaksanaan, kumpulan pekerja serta sektor yang akan terlibat.
Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu gaji minimum.
“Kita tidak mahu dalam pelaksanaannya nanti, sama ada dari segi jangka masa, dari segi kumpulan ataupun sektor, kita akan teliti secara menyeluruh.
“Jemaah Menteri juga mengambil sikap untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata sekiranya terdapat pengumuman berhubung pelaksanaan gaji minimum, pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini berkemungkinan menjadi platform untuk pengumuman berkenaan.
“Jadi tidak ada keputusan yang menyeluruh pada hari ini. Hanya arahan untuk diteliti dulu beberapa perkara sebelum apa-apa pengumuman dibuat.
“Paling awal pengumuman akan dibuat adalah sewaktu pembentangan Belanjawan,” katanya.