
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini menggunakan platform kecerdasan data, Media Data Insight and Analytics (MeDINA), bagi memperkukuh analisis audiens dan menyokong keputusan kandungan secara lebih pantas serta berasaskan data masa nyata.
- MeDINA dibangunkan melalui kerjasama RTM dan TM Technology Services di bawah Program Kolaborasi Industri yang diselaras Technology Depository Agency.
- Platform menyatukan data pelbagai platform digital RTM dalam satu ekosistem pintar, memudahkan pengurusan dan analisis data.
- Sistem mempercepat pelaporan, meningkatkan ketepatan dan menyediakan maklumat masa nyata bagi sokongan keputusan kandungan pantas.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, pelaksanaan MeDINA mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh keupayaan penyiaran awam agar terus relevan dalam landskap media yang semakin dipacu teknologi dan perubahan tingkah laku audiens.
“Pelaksanaan MeDINA merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh transformasi digital RTM ke arah penyiaran yang lebih moden, responsif dan berpandukan data.
“Dengan keupayaan analitik yang lebih menyeluruh, RTM dapat memahami keperluan audiens dengan lebih mendalam, sekali gus menyampaikan kandungan yang lebih relevan, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran MeDINA, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.

Mengulas lanjut, Datuk Abdul Halim berkata, platform itu dibangunkan menerusi kerjasama RTM dan TM Technology Services (TM Tech) di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) yang diselaras Technology Depository Agency (TDA).
MeDINA menyatukan data daripada pelbagai platform digital RTM dalam satu ekosistem pintar dan bersepadu, sekali gus memudahkan pengurusan serta analisis data secara lebih tersusun dan berkesan.
Sistem itu turut membantu mempercepat pelaporan, meningkatkan ketepatan data serta menyediakan maklumat masa nyata bagi menyokong proses membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat.
Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Muhamad Rafidi Mat Dahan berkata, projek MeDINA membuktikan peranan ICP dalam memperkukuh pembangunan teknologi dan keupayaan organisasi menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan industri.
“Kerjasama TDA, RTM dan TM One bukan sahaja menghasilkan platform analitik digital bagi menyokong operasi penyiaran awam, malah memperkukuh pemindahan pengetahuan, pembangunan kompetensi serta penggunaan teknologi secara lebih berkesan dalam sektor awam, selaras agenda transformasi digital negara,” katanya.