
SHAH ALAM, 1 Oktober – Sebanyak 115 projek pembangunan jalan bernilai kira-kira RM77 bilion dikenal pasti menerusi Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) bagi melengkapkan jaringan perhubungan fizikal di seluruh negeri.
- Pelan JALUR menjadi panduan utama menentukan keutamaan pembangunan jalan setiap tahun, bukan berdasarkan kehendak tertentu.
- Pelaksanaan berperingkat dalam 10 tahun dibiayai kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan konsesi lebuh raya.
- Memperkukuh rangkaian mobiliti dan integrasi rel termasuk DRT, bas pengantara serta Park & Ride bagi sokong sasaran RS-2 dan akses strategik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu merangkumi 35 projek pembinaan jalan baharu, 64 projek menaik taraf jalan termasuk pelebaran daripada dua kepada empat lorong, serta 16 projek menaik taraf persimpangan.
Menurutnya, keseluruhan projek akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun dengan pembiayaan melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta konsesi lebuh raya.
Datuk Seri Amirudin berkata, JALUR Selangor akan menjadi panduan dalam menentukan keutamaan pembangunan jalan setiap tahun berdasarkan keperluan serta isu yang timbul dari semasa ke semasa.
“Dengan adanya panduan dan pelan induk ini, setiap tahun dalam perancangan belanjawan kita akan melihat jalan mana yang perlu diberikan keutamaan.
“Ia tidak lagi dibuat hanya berdasarkan kehendak tertentu, sebaliknya berpandukan satu dokumen dan senarai projek yang telah dikenal pasti mengikut keutamaan serta keperluan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran JALUR Selangor, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Amirudin berkata, pelan berkenaan turut dirangka bagi menyokong pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), termasuk usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah.
JALUR Selangor juga berperanan memperkukuh rangkaian mobiliti negeri dengan meningkatkan akses ke kawasan strategik seperti Sabak Bernam, pembangunan IDRISS, Pelabuhan Ketiga Pulau Carey serta hab aeroangkasa dan logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang serta Subang.
Pada masa masa sama, menyokong sasaran RS-2 untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penggunaan pengangkutan awam.
Perancangan berkenaan merangkumi integrasi rangkaian rel seperti LRT3, MRT dan cadangan Jajaran Rel KitaSelangor, selain sokongan sistem Demand-Responsive Transit (DRT), bas pengantara serta kemudahan Park & Ride.
Pelan strategik itu membahagikan pelaksanaan kepada 12 zon di seluruh negeri, antaranya Aeropolis 1 melibatkan KLIA, Timur 1 merangkumi Selayang, Ampang dan Gombak serta Timur 2 membabitkan Kajang, Semenyih dan Cheras.
Antara projek yang dikenal pasti ialah pembinaan jalan baharu bagi melengkapkan beberapa jaringan yang masih terputus, termasuk dari Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ke Pulau Carey, selain jaringan jalan di Sabak Bernam dan kawasan industri.