Jemaah Menteri doakan kesihatan Tun Mahathir, zahir takziah pemergian Tun Hasmah

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 September – Seluruh Jemaah Menteri mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di bawah pemantauan doktor di Institut Jantung Negara (IJN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga.
  • Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir melalui perbualan telefon.
  • Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah dihormati sebagai tokoh wanita dan negarawan; meninggal dunia di IJN pada usia 100, meninggalkan tujuh anak.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Jemaah Menteri mendoakan kesihatan Dr Mahathir yang kini berada di dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara.

“Perdana Menteri, seluruh Jemaah Menteri dan pihak kerajaan turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga di atas pemergian Allahyarham Dr Siti Hasmah,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau memaklumkan, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.

Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah sebagai seorang tokoh wanita dan negarawan yang amat dihormati.

Tun Dr Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri itu meninggal dunia di IJN pada Isnin lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.