PM ucap tahniah, sembilan emas bukti kesungguhan kontinjen Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada atlet negara yang menyumbang tiga pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontinjen Malaysia kini mengumpul sembilan pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
  • Tiga emas terbaru diraih dalam keirin lelaki serta skuasy berpasukan lelaki dan wanita.
  • Mohd Azizulhasni Awang raih emas keirin; skuad skuasy wanita dan lelaki masing-masing juara.
  • Perjuangan memburu emas diteruskan esok bersama padel lelaki (Christian Didier Chin, Aidan Yunus) dan skuad hoki lelaki di final.

Beliau berkata pencapaian itu menyerlahkan kehebatan dan kesungguhan luar biasa atlet Malaysia dalam mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia.

“Kontinjen negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 kini mengumpul sembilan pingat emas, satu pencapaian membanggakan yang menyerlahkan kehebatan dan kesungguhan luar biasa atlet Malaysia dalam mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Tiga emas diraih Malaysia semalam adalah menerusi acara keirin lelaki, skuasy wanita berkumpulan dan skuasy lelaki berkumpulan.

Emas keirin lelaki disumbangkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang, manakala skuad skuasy wanita yang dibarisi Aifa Azman, S. Sivasangari, Aira Azman dan Rachel Arnold turut muncul juara.

Skuad skuasy lelaki pula menyumbang emas menerusi Ng Eain Yow, Sanjay Jeeva, C. Ameeshenraj dan Mohammad Syafiq Kamal.

Perdana Menteri turut menyatakan perjuangan memburu emas akan diteruskan hari ini menerusi gandingan padel lelaki, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus, serta skuad hoki lelaki yang akan beraksi di pentas akhir.

“Sama-sama kita doakan kejayaan mereka,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.