
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil meminta semua pihak, khususnya pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial memberikan ruang serta masa kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya yang sedang berduka selepas pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
- Beri Tun Mahathir dan keluarga ruang dan masa berduka, permintaan disokong oleh Datuk Seri Mukhriz.
- Jangan kejar segala perkembangan hanya untuk kandungan; tidak semua perkara perlu dijadikan berita atau bahan media sosial.
- Elakkan kongsi kandungan mengaibkan atau AI sensitif; laporkan kepada MCMC atau polis dan pelihara adab serta kemanusiaan.
Datuk Seri Fahmi berkata, permintaan itu turut dibuat sendiri oleh anak Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang meminta orang ramai memberi ruang kepada bapanya.
“Berilah Tun Mahathir sedikit ruang dan masa. Datuk Seri Mukhriz telah membuat permintaan ini sendiri,” katanya menerusi video pendek yang dikongsikan di Facebook.
Menurut Datuk Seri Fahmi, belum sampai seminggu Tun Dr Mahathir kehilangan isterinya dan beliau memahami keinginan orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini, termasuk keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
Namun katanya, tidak semua perkara perlu dikejar semata-mata untuk dijadikan berita atau kandungan media sosial.
“Kita kena bagi ruang dan masa kepada keluarga yang sedang berduka,” katanya.
Datuk Seri Fahmi turut mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan kandungan yang mengaibkan atau tidak sensitif, termasuk kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) berkaitan Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata, kandungan sedemikian termasuk yang mendoakan perkara tidak sepatutnya tidak wajar diberikan perhatian dengan berkongsi, mengulas atau memberikan tontonan.
Sebaliknya, Datuk Seri Fahmi meminta orang ramai yang menemui kandungan seumpama itu supaya melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis.
Dalam hantaran sama, Datuk Seri Fahmi turut menyeru masyarakat supaya mengekalkan adab, moral dan sifat kemanusiaan ketika menggunakan media sosial.
“Teknologi boleh berubah, kita boleh berbeza pandangan, tapi janganlah guna media sosial sampai kita hilang adab, moral dan sifat kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak semua perkara perlu dikejar untuk dijadikan kandungan, sebaliknya masyarakat perlu memberi ruang, masa dan menjaga adab.