Rapid KL sedia van percuma ke Parlimen mulai 5 Oktober

Foto Rapid KL

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Rapid KL menyediakan perkhidmatan van perantara percuma laluan T851 antara KL Sentral dan Bangunan Parlimen mulai 5 Oktober hingga 22 Disember ini, sebagai alternatif perjalanan bagi membantu mengurangkan kesesakan dan isu parkir di kawasan Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Disediakan sempena pembukaan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15.
  • Beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 7 pagi hingga 8 malam.
  • Kekerapan: setiap 30 min waktu puncak (7-11 pagi, 4-8 petang); 60 min di luar waktu puncak.
  • Laluan kira-kira lima kilometer mengambil masa sekitar 15 minit bergantung kepada keadaan trafik.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, perkhidmatan itu disediakan sempena pembukaan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15.

“Perkhidmatan T851 menawarkan solusi pilihan perjalanan yang mudah bagi mereka yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen, membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih lancar dan selesa,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL berkata, van berkenaan beroperasi Isnin hingga Jumaat, dari 7 pagi hingga 8 malam.

Kekerapan perkhidmatan adalah setiap 30 minit pada waktu puncak, iaitu 7 pagi hingga 11 pagi dan 4 petang hingga 8 malam, manakala setiap 60 minit di luar waktu puncak.

Katanya, penumpang boleh menaiki van di Balai Pelepasan ERL, KL Sentral dan Taman Botani Perdana, berhampiran tempat letak kereta bertingkat, sebelum meneruskan perjalanan ke Bangunan Parlimen.

Laluan sejauh kira-kira lima kilometer itu mengambil masa sekitar 15 minit, bergantung kepada keadaan trafik.

Rapid KL menggalakkan orang ramai yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen memanfaatkan kemudahan percuma itu bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah dan selesa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.