Mahasiswa harap Belanjawan 2027 perkasa TVET, akses teknologi

Foto janaan AI

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Memperkasa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), memperluas akses kepada teknologi baharu serta membantu mengurangkan beban kos perjalanan antara harapan mahasiswa menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan lebih besar untuk TVET bagi latihan industri, kemudahan, peralatan dan pembangunan kemahiran selari keperluan industri.
  • Bantuan kewangan kepada pelajar supaya dapat mengakses teknologi terkini dan pendidikan yang lebih moden.
  • Pertimbangkan pengangkutan percuma semasa cuti semester untuk mengurangkan beban kos perjalanan pelajar.
  • Belanjawan 2027 perlu menitikberatkan kemahiran, akses teknologi dan kebajikan pelajar secara menyeluruh.

Bagi mahasiswa TVET, peruntukan lebih besar diharap dapat disalurkan bukan sahaja untuk memperbanyakkan kursus, malah meningkatkan kemudahan latihan, peralatan serta peluang menjalani latihan industri yang selari dengan keperluan sektor pekerjaan.

Mahasiswa Politeknik Besut, Putri Farisah Syamimi Hussin Seng berkata, pengukuhan TVET perlu disokong dengan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan pelajar memperoleh latihan dan kemahiran yang benar-benar diperlukan industri.

“Saya harap TVET lebih diperkasakan melalui lebih banyak inisiatif daripada kerajaan, bukan sekadar perbanyakkan kursus, tapi perbanyakkan peruntukan untuk latihan industri, alatan untuk industri dan juga kemahiran,” katanya kepada pemberita RTM.

Dalam masa sama, perkembangan pesat teknologi menuntut mahasiswa menguasai kemahiran baharu bagi memastikan mereka kekal relevan dengan perubahan dalam dunia pekerjaan.

Mahasiswa ADTEC Marang, Ahmad Nazarudin Azami berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan kewangan bagi membolehkan pelajar mendapatkan akses kepada teknologi terkini dan pendidikan yang lebih moden.

“Harapan saya daripada pihak kerajaan adalah untuk memberikan bantuan daripada segi kewangan supaya memudahkan pelajar untuk mengakses teknologi-teknologi baharu seiring dengan kemajuan teknologi sekarang. Jadi para pelajar bolehlah mendapatkan akses kepada pendidikan yang lebih moden,” katanya.

Sementara itu, isu kos perjalanan turut menjadi perhatian khususnya bagi mahasiswa yang tinggal jauh dari kampung halaman dan perlu menanggung perbelanjaan tambahan ketika pulang bercuti.

Mahasiswa ADTEC Marang, Nur Ain Shamimi Rusle berkata, penyediaan pengangkutan percuma untuk pelajar ketika cuti semester dapat membantu mengurangkan beban terutama bagi mereka yang perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke terminal pengangkutan.

“Kebanyakan pelajar di sini, sekiranya cuti lama, ramai yang balik menaiki bas. Bagaimanapun mereka terpaksa membayar perkhidmatan e-hailing untuk ke stesen bas. Jadi saya berharap kerajaan mempertimbang, kemungkinan boleh menyediakan pengangkutan percuma untuk para pelajar yang hendak pulang tempat masing-masing,” katanya.

Harapan mahasiswa itu kini menanti untuk diterjemahkan menerusi Belanjawan 2027, khususnya dalam memastikan aspek kemahiran, teknologi dan kebajikan pelajar terus mendapat perhatian kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.