Belanjawan 2027: Kerajaan disaran beri perhatian kepada kos bahan api, elektrik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Kerajaan disaran memberi perhatian serius terhadap kos bahan api dan elektrik dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan tarif elektrik kekal berpatutan serta tidak membebankan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos bahan api berkait langsung dengan penetapan tarif elektrik; kawalan kos mampu mengurangkan beban pengguna.
  • Elektrik dan air dianggap kritikal dalam kehidupan harian, perlu diberi perhatian serius dalam perancangan belanjawan.
  • Perhatian kepada kos tenaga penting untuk memastikan sektor tenaga mampan dan mengimbangi keperluan pengguna dengan kos penyediaan.
  • TNB naikkan paras ke 800 kWj, lindungi lebih lapan juta pengguna dan kecualikan hampir satu juta daripada AFA, SST serta caj peruncitan RM10.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Profesor Madya Ir Dr Jasrul Jamani Jamian, berkata kos bahan api mempunyai kaitan langsung dengan penetapan tarif elektrik, justeru kawalan terhadap kos berkenaan mampu memberi kesan positif kepada pengguna.

“Saya mengharapkan supaya kerajaan melihat secara serius dari segi kos bahan api dan juga elektrik itu sendiri, kerana elektrik merupakan asas untuk kehidupan rakyat.

“Saya rasa dua perkara ini memang sangat kritikal, iaitu elektrik dan air, kerana masyarakat memerlukan kedua-duanya dalam kehidupan harian,” katanya kepada RTM di Angkasapuri Kota Media.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Profesor Madya Ir Dr Jasrul Jamani Jamian./ RTM

Menurutnya, perhatian terhadap kos tenaga juga penting bagi memastikan sektor tenaga kekal mampan, selain mengimbangi keperluan pengguna dengan kos penyediaan tenaga.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan lebih lapan juta atau 90 peratus pengguna domestiknya akan menikmati perlindungan bil elektrik susulan peningkatan aras penggunaan daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan.

Langkah itu turut memberi manfaat kepada hampir satu juta pengguna tambahan yang akan dikecualikan daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj peruncitan RM10.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.