
SUBANG JAYA, 3 Oktober – Teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar dimanfaatkan sebagai panduan dan alat bantu dalam penghasilan muzik, bukannya menggantikan kreativiti pemuzik.
- Pengkarya muzik tidak seharusnya terlalu bergantung kepada AI kerana ia boleh membataskan kreativiti.
- Kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan secara seimbang untuk membantu penghasilan muzik tanpa menjejaskan daya kreativiti.
- Beliau menzahirkan kagum terhadap persembahan pelajar yang membawakan karya The Beatles bertaraf antarabangsa.
- Program mempersembahkan 30 lagu The Beatles melalui muzik langsung, susunan simfoni, koir, tarian dan penceritaan teater.
Bekas Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail berkata pengkarya muzik tidak seharusnya terlalu bergantung kepada teknologi berkenaan kerana ia boleh membataskan kreativiti.
“Sebenarnya AI itu memudahkan, tetapi kita jangan terlalu bergantung kerana AI akan menyekat kreativiti yang ada pada kita. Jadi kepada pengkarya-pengkarya muzik, lebih baik mereka menjadikan AI itu sebagai satu panduan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Come Together: A Symphonic Anthology of The Beatles anjuran Asia Pacific Smart Schools (APSS), di sini.
Menurut Mokhzani, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan secara seimbang supaya kemudahan yang ditawarkan AI dapat membantu proses penghasilan muzik tanpa menjejaskan daya kreativiti pengkarya.
Dalam perkembangan sama, beliau menzahirkan rasa kagum terhadap persembahan pelajar institusi berkenaan yang membawakan karya kumpulan legenda Britain, The Beatles menerusi konsep bertaraf antarabangsa.
“Malam ini sesuatu yang sangat mengagumkan. Kita dapat melihat ahli-ahli muzik muda yang merupakan pelajar-pelajar, anak-anak Malaysia yang berada di atas pentas membuat satu persembahan yang berkonsepkan antarabangsa,” katanya.
Program berkenaan mempersembahkan 30 lagu The Beatles menerusi muzik secara langsung, susunan simfoni dan koir, tarian serta penceritaan teater.
Persembahan itu mengisahkan empat pemuzik muda, selain mengetengahkan faktor karya kumpulan berkenaan kekal relevan selepas lebih 60 tahun kemunculannya.