Sesi kelayakan GP Sao Paulo ditangguhkan susulan hujan lebat

Pemandu Mercedes dari Itali, Kimi Antonelli ketika sesi kelayakan GP F1 Sao Paulo di Litar Jose Carlos Pace di Sao Paulo, Brazil pada Sabtu/ AFP (Foto kecil: Petugas membersihkan litar yang ditakungi air hujan/AFP)

SAO PAULO, 8 November- Hujan lebat memaksa sesi kelayakan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Sao Paulo ditangguhkan pada Sabtu selepas air bertakung di beberapa bahagian litar dan jarak penglihatan terhad menjejaskan keselamatan pemandu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi dihentikan dengan bendera merah selepas dua minit.
  • Kira-kira 30 minit kemudian, kereta keselamatan melakukan dua pusingan untuk menilai permukaan litar.
  • Selepas penangguhan sekitar 90 minit, sesi disambung semula dan Valtteri Bottas menjadi pemandu pertama memasuki litar.

Sesi itu dihentikan menerusi bendera merah selepas hanya dua minit berlangsung berikutan keadaan litar yang tidak sesuai untuk perlumbaan.

Selepas kira-kira 30 minit, hujan mulai reda sebelum kereta keselamatan rasmi melakukan dua pusingan bagi menilai keadaan permukaan litar.

Bagaimanapun, pemandu kereta keselamatan, Bernd Maylander melaporkan air masih bertakung di selekoh kedua dan ketiga serta laluan antara selekoh keempat dengan kelima.

Selepas penangguhan kira-kira 90 minit, sesi disambung semula dengan Valtteri Bottas daripada pasukan Cadillac menjadi pemandu pertama memasuki litar.

“Keadaan di sini agak teruk,” kata pemandu McLaren, Oscar Piastri ketika jentera mula kembali ke litar.

Sebelum itu, beberapa pemandu yang basah kuyup selepas melengkapkan satu pusingan perlahan mengambil kesempatan menukar pakaian perlumbaan sementara menunggu sesi disambung. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.