Banjir Nepal : Kementerian Luar sahkan seorang rakyat Malaysia selamat kembali ke tanah air

Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Oktober –  Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal telah selamat kembali ke tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • 54 rakyat Malaysia masih direkodkan sebagai tidak dapat dihubungi susulan bencana.
  • Kementerian akan terus mengesahkan setiap kes melalui Kedutaan di Kathmandu dan Beijing serta kerjasama pihak berkuasa Nepal.
  • Operasi mencari dan menyelamat beralih ke fasa mencari dan pemulihan selepas banjir serta tanah runtuh yang merosakkan infrastruktur.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, individu berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober untuk pengesahan identiti sebelum pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.

Dengan perkembangan itu, 54 lagi rakyat Malaysia masih direkodkan sebagai tidak dapat dihubungi.

“Kementerian akan terus mengesahkan setiap kes secara berasingan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran yang ada,” menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa Malaysia akan mengambil kenyataan daripada individu berkenaan bagi melengkapkan rekod rasmi kes, selain menjalankan penilaian kesihatan.

Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut menjalankan pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal dan menyemak rekod berkaitan.

Wisma Putra tidak mendedahkan butiran peribadi lanjut mengenai individu berkenaan bagi menghormati privasinya.

Semalam, Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam memaklumkan, individu berkenaan telah pergi ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu atas usahanya sendiri, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia dan tiba dengan selamat pagi Jumaat.

“Perkembangan itu dimaklumkan Kementerian Luar kepada kumpulan WhatsApp yang disertai waris terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar menegaskan usaha mengesahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akan diteruskan, walaupun operasi mencari dan menyelamat di Nepal telah beralih kepada fasa mencari dan pemulihan.

Usaha berkenaan dilaksanakan melalui Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Beijing, selain kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa Nepal serta saluran rasmi lain.

Banjir dan tanah runtuh yang melanda daerah Rasuwa serta kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos menyebabkan kerosakan besar terhadap jalan raya, jambatan dan rangkaian komunikasi, sekali gus menyukarkan akses serta hubungan dengan kawasan terjejas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.