
KUALA LUMPUR, 2 November – Sembilan individu, termasuk dua suspek utama, ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini malam tadi.
- Kejadian berlaku di hadapan sebuah kafe kira-kira pukul 11 malam, 1 November.
- Suspek terdiri daripada lelaki dan perempuan berumur antara 16 hingga 44 tahun.
- Tangkapan dilakukan selepas anggota URB Balai Polis Sungai Besi, Bahagian Siasatan Jenayah dan IPD Cheras digerakkan ke lokasi.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan; polis merampas beberapa barang dan menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah kafe di kawasan berkenaan kira-kira pukul 11 malam, 1 November (Ahad).
“Sembilan suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang perempuan, berusia antara 16 hingga 44 tahun,” demikian menurut beliau menerusi satu kenyataan.
Katanya, tangkapan dilakukan selepas sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Cheras dan elemen lain dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
Semakan rekod mendapati sebahagian besar suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.
Polis turut merampas beberapa barang yang disyaki digunakan semasa kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau IPD Cheras di talian 03-9205 0445/465, atau mana-mana balai polis berhampiran.