
KEMAMAN, 2 November – Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 275 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu.
- Mangsa Muhammad Syukur Adnan, 23, disahkan meninggal di lokasi akibat kecederaan kepala.
- Motosikal dipercayai terbabas sendiri sebelum mangsa ditemukan terbaring di lorong kanan lebuh raya.
- Sebuah MPV cuba mengelak dengan memasuki lorong kiri lalu merempuh motosikal di lorong kanan.
- Keadaan jalan kering dan kurang cahaya, siasatan lanjut dijalankan; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa, Muhammad Syukur Adnan, 23 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Janda Baik menuju Chukai.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum mangsa ditemukan terbaring di lorong kanan lebuh raya.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bergerak di lorong kanan cuba mengelak mangsa dengan memasuki lorong kiri sebelum merempuh motosikal yang berada di lorong berkenaan,” katanya.
Pemandu MPV berusia 45 tahun yang dalam perjalanan dari Gombak menuju Kuala Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Superintenden Mohd Razi lagi, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Keadaan jalan ketika kejadian dilaporkan kering dan tidak sibuk, manakala kawasan berkenaan gelap serta tidak berlampu.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.