Malaysia ketengah dua keutamaan dalam COP31


Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim NRES, Ahmad Farid bin Mohamed

KUALA LUMPUR, 2 November — Malaysia bakal mengetengahkan dua keutamaan utama dalam rundingan Persidangan Pihak Pihak ke 31 (COP31), bagi memastikan keseimbangan antara komitmen iklim antarabangsa dengan keperluan pembangunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan Belém Adaptation Indicators memastikan indikator sesuai dengan situasi tempatan dan bersifat fleksibel.
  • 20 juta tan pengurangan disasarkan melalui usaha domestik, manakala 10 juta tan memerlukan pembiayaan antarabangsa.
  • Pelan Adaptasi Kebangsaan merangkumi enam sektor utama untuk kurangkan risiko perubahan iklim dan lindungi kesejahteraan rakyat.

Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Ahmad Farid bin Mohamed berkata, keutamaan pertama melibatkan perbincangan mengenai Belém Adaptation Indicators, dengan Malaysia memastikan indikator yang dibangunkan bersesuaian dengan situasi tempatan dan bersifat fleksibel.

Keutamaan kedua pula tertumpu kepada keperluan pembiayaan antarabangsa bagi menyokong pencapaian sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) sehingga tahun 2035.

“Sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau ditetapkan bagi setiap tempoh lima tahun. Melalui sasaran yang dikemukakan tahun lalu, Malaysia berhasrat mengurangkan pelepasan antara 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara.

“Daripada jumlah itu, 20 juta tan disasarkan melalui usaha domestik, manakala baki 10 juta tan lagi memerlukan sokongan pembiayaan antarabangsa,” katanya di Angkasapuri.

Sementara itu, NRES sedang memuktamadkan Pelan Adaptasi Kebangsaan yang dijadualkan siap tahun hadapan untuk dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Pelan itu merangkumi enam sektor utama, iaitu pertanian, biodiversiti, kesihatan awam, sumber air, hakisan pantai dan infrastruktur, bagi mengurangkan risiko perubahan iklim serta melindungi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Pavilion Malaysia di COP31 akan menghimpunkan kerjasama sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, selain mempamerkan potensi pasaran karbon, keupayaan alam semula jadi serta inisiatif mitigasi negara untuk dikongsi di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.