
KUALA LUMPUR, 2 November – Kementerian Kesihatan (KKM) mempergiat usaha mengubah tabiat dan tingkah laku rakyat bagi membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) yang meragut kira kira 96,000 nyawa setiap tahun.
- Pendekatan menyeluruh diperlukan: bukan sekadar kesedaran, tetapi galakkan gaya hidup sihat untuk cegah diabetes, hipertensi dan komplikasi kardiovaskular.
- KKM guna Behavioural Insights dan strategi nudging, ambil kira kemampuan beli, ketersediaan dan kebolehcapaian makanan sihat serta kerjasama pelbagai pihak.
- Langkah termasuk cukai eksais minuman bergula, pendidikan pemakanan, pengurangan gula dan garam industri serta penggalakan aktiviti fizikal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha menangani NCD memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi turut mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Tabiat rakyat antara faktor yang menyebabkan satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes, manakala satu daripada tiga mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi. Kedua-dua keadaan ini boleh membawa komplikasi serius, termasuk serangan jantung dan strok.
“Selain itu, terdapat juga isu kesihatan lain yang telah saya nyatakan. Justeru, kita mempunyai pelan tindakan menyeluruh untuk menangani cabaran kesihatan awam ini,” katanya di Parlimen pada Isnin.
Jelasnya, KKM turut menggunakan pendekatan Behavioural Insights menerusi ‘strategi nudging’ bagi mendorong rakyat membuat pilihan lebih sihat.
Pendekatan itu mengambil kira kemampuan membeli serta ketersediaan dan kebolehcapaian makanan sihat, selain memerlukan kerjasama kerajaan, industri dan masyarakat.
Usaha berkenaan diperkukuh melalui cukai eksais minuman bergula, pendidikan pemakanan, kerjasama industri mengurangkan kandungan gula dan garam serta penggalakan aktiviti fizikal.
Pada 2024, KKM menerima RM25 juta daripada kutipan cukai eksais minuman bergula. Daripada jumlah itu, RM21 juta digunakan untuk pembelian ubat perencat SGLT2, manakala RM4 juta bagi program advokasi Perang Terhadap Gula.