Harga minyak sawit mentah sokong pendapatan perladangan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 2 November – Kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) kepada purata RM4,552 satu tan pada suku ketiga 2026 dijangka menjadi faktor utama menyokong pendapatan syarikat perladangan, sekali gus mengimbangi kesan pengeluaran lebih rendah dan kos operasi yang kekal tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga MSM yang meningkat memberikan kelebihan harga jualan, namun beberapa syarikat mencatat pengeluaran BTS dan MSM lebih rendah.
  • Prestasi sektor bergantung kepada produktiviti ladang dan kawalan kos, terutamanya apabila harga baja kekal tinggi.
  • Sektor hiliran dibebani kos pengangkutan dan insurans meningkat susulan ketegangan geopolitik, walaupun harga isirung sawit boleh membantu margin.

RHB Research berkata, prestasi sektor perladangan bagi suku ketiga berkata harga purata MSM meningkat 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan 0.7 peratus berbanding suku sebelumnya, memberikan kelebihan dari segi harga jualan kepada pengeluar.

Bagaimanapun, peningkatan harga itu tidak akan meningkatkan keuntungan memandangkan beberapa syarikat merekodkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM lebih rendah berbanding tahun lepas.

“Keadaan itu menunjukkan prestasi sektor bukan sahaja bergantung kepada harga komoditi, tetapi turut ditentukan keupayaan syarikat mengekalkan produktiviti ladang dan mengawal kos pengeluaran, khususnya ketika harga baja masih berada pada paras tinggi,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengeluaran industri dijangka kekal sekitar RM2,500 hingga RM2,600 satu tan, berikutan harga baja yang masih melebihi paras suku ketiga 2025 walaupun beberapa input utama menunjukkan penyusutan.

Dari segi pengeluaran katanya, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran BTS meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada 29.1 juta tan pada suku ketiga 2026, manakala pengeluaran MSM bertambah 4.0 peratus kepada 5.7 juta tan.

Bagi sektor hiliran pula, kos pengangkutan dan insurans yang meningkat susulan ketegangan geopolitik di Selat Hormuz dijangka terus memberi tekanan, namun kenaikan harga isirung sawit berpotensi membantu mengekalkan margin keuntungan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.