KKM perluas akses rawatan GLP-1 pesakit obesiti, diabetes

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 November – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus berusaha mendapatkan peruntukan khusus bagi memperluas akses rawatan menggunakan ubat GLP-1 seperti Ozempic dan Mounjaro, terutama bagi pesakit obesiti dan diabetes yang memerlukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 240 permohonan rawatan GLP-1 diluluskan Januari hingga September 2026, kos RM2.56 juta daripada peruntukan sedia ada KKM.
  • GLP-1 perlukan peruntukan lebih besar; permohonan masih belum mendapat peruntukan khusus. SGLT2 dipertimbangkan bagi pesakit bukan obes.
  • KKM laksanakan program MIMO di 33 klinik dan sokongan pakar di 13 hospital untuk pengurusan obesiti menyeluruh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, sebanyak 240 permohonan rawatan menggunakan ubat berkenaan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2026, membabitkan kos keseluruhan RM2.56 juta menerusi peruntukan sedia ada KKM.

“GLP-1 memerlukan peruntukan yang lebih besar. Kita telah mengemukakan permohonan, namun setakat ini belum mendapat peruntukan khusus dan masih menggunakan peruntukan sedia ada. Bagaimanapun, kita akan terus berusaha mendapatkan peruntukan bagi rawatan GLP-1 pada masa hadapan.

“Untuk makluman, terdapat juga satu lagi kumpulan ubat yang penting, iaitu perencat SGLT2. Ubat ini boleh dipertimbangkan khususnya bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah obesiti, tetapi mengalami komorbiditi seperti penyakit jantung dan penyakit buah pinggang kronik (CKD). Kosnya juga agak lebih rendah berbanding ubat daripada kumpulan agonis reseptor GLP-1.

“Justeru, kita akan mempertimbangkan semua pilihan rawatan ini berdasarkan keperluan dan keadaan klinikal pesakit,” katanya di Parlimen, di sini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly menegaskan, pengurusan obesiti tidak boleh bergantung pada penggunaan ubat-ubatan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang disesuaikan dengan keadaan kesihatan setiap pesakit.

Pendekatan itu merangkumi perubahan gaya hidup, amalan pemakanan sihat, aktiviti fizikal, terapi penggantian makanan serta pembedahan bariatrik bagi pesakit yang memenuhi indikasi klinikal.

Dalam pada itu, KKM melaksanakan program Multidisciplinary Integrated Management of Obesity (MIMO) di 33 klinik kesihatan dengan sokongan pakar di 13 hospital bagi memastikan pengurusan obesiti dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.