
KUALA LUMPUR, 2 November – Keupayaan menyediakan infrastruktur hijau, bekalan tenaga yang cekap dan kemudahan pekerja bakal menjadi penentu daya saing taman perindustrian di Malaysia dalam menarik pelaburan syarikat multinasional dan pengeksport.
- Daya saing taman perindustrian kini merangkumi kecekapan tenaga, daya tahan terhadap perubahan iklim dan pemenuhan keperluan alam sekitar serta sosial penyewa.
- NIMP 2030 dan NETR menguatkan peralihan ke penyahkarbonan, kecekapan sumber dan pembangunan taman perindustrian hijau.
- Pelaksanaan kelestarian tidak otomatis menjamin sewaan premium atau pulangan; pelabur mesti nilai penjimatan kos, pengurangan risiko dan ROI infrastruktur hijau.
Menurut Kenanga Research, daya saing taman perindustrian kini tidak lagi bergantung kepada ketersediaan tanah dan kesalinghubungan semata-mata, sebaliknya merangkumi kecekapan tenaga, daya tahan terhadap perubahan iklim serta keupayaan memenuhi keperluan alam sekitar dan sosial penyewa.
“Perubahan itu semakin diperlukan kerana syarikat multinasional dan pengeksport berdepan tuntutan pelanggan untuk mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta mematuhi standard tenaga kerja,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu memaklumkan, hala tuju dasar negara turut memperkukuh peralihan itu menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang mengutamakan penyahkarbonan industri, kecekapan sumber dan pembangunan taman perindustrian hijau.
Selain itu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan sasaran kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 70 peratus menjelang 2050, manakala cadangan cukai karbon berpotensi meningkatkan kepentingan pengurusan pelepasan karbon dalam kalangan entiti yang terlibat.
Bagaimanapun, menurut firma berkenaan pelaksanaan inisiatif kelestarian tidak semestinya menjamin kadar penghunian lebih tinggi, kadar sewaan premium atau pulangan pelaburan lebih baik kerana manfaat komersial bergantung kepada permintaan penyewa dan keberkesanan pelaksanaan.
Pelabur perlu membezakan antara pencapaian kelestarian dengan hasil ekonomi yang boleh diukur, termasuk penjimatan kos operasi, pengurangan risiko gangguan perniagaan dan pulangan daripada pelaburan infrastruktur hijau.
Katanya, kelestarian merupakan elemen penting dalam meningkatkan daya saing taman perindustrian, namun ia bukan bukti utama pemaju mampu mencatatkan keuntungan atau mencatatkan penilaian saham lebih tinggi.