Gudang penyembelihan ayam tidak patuh syarak proses lebih 40,000 ekor sehari

Foto RTM

PUCHONG, 1 November – Gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah tidak mematuhi syarak yang diserbu menerusi Op Taring Chiller pada Jumaat lalu di Puchong, dipercayai berupaya memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses 'waterbath stunning' menyebabkan ayam mati sebelum disembelih, mencetuskan keraguan serius terhadap pematuhan syarak dan status halal.
  • Bekalan ayam yang diproses dipercayai diedarkan ke kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di beberapa kawasan Lembah Klang.
  • Serbuan di Puchong rampas 468 bungkusan ayam, anggaran 6,555 kg bernilai RM85,400; 2 lelaki dan 12 warga asing ditahan.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim, memaklumkan bekalan ayam yang telah diproses dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana, Putrajaya serta kawasan lain di Lembah Klang.

Beliau menjelaskan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.

“Ayam yang diproses yang disyaki tidak mematuhi kaedah-kaedah penyembahan mengikut syarat yang menjadi syarat utama kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mematuhi keperluan halal dan ayam-ayam tersebut yang didapati melalui proses penyembelihan melalui proses ‘Waterbath Stunning’.

“Proses berkenaan mengakibatkan ayam berkenaan telah mati terlebih dahulu sebelum disembelih dan keadaan ini adalah tidak mematuhi kepada keperluan syarat pensijilan halal yang ditetapkan oleh pihak JAKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sidang Media Op Taring Chiller di Puchong.

Datuk Muhammad berkata siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pembekalan dan pengedaran, termasuk jumlah sebenar ayam yang diproses setiap hari serta pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut

Terdahulu pada Jumaat lalu, satu serbuan ke atas sebuah gudang yang terletak di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, Selangor telah dilakukan susulan lokasi itu disyaki dijadikan premis penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis itu membawa kepada rampasan sebanyak 468 bungkus plastik berisi ayam mentah dengan anggaran berat keseluruhan 6,555 kilogram, yang dianggarkan bernilai RM85,400.

Operasi bersepadu menerusi Op Taring Chiller tersebut telah membawa kepada pemeriksaan ke atas dua lelaki tempatan dan penahanan 12 individu warga asing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.